Monday, 19 October 2015

Boleh ke ibu mengandung guna repellant ?

Assalamualaikum

Semua ibu sedia maklum bahawa rumah yang kita diami sekarang bukan sahaja menjadi tempat berteduh kita sekeluarga malah ada yang menumpang. Jangan salah faham dulu yer. Yang ibu maksudkan ialah serangga seperti nyamuk, lipas, cicak, semut dan banyak lagi. Kadang- kadang anak kita yang sedang merangkak itu mengutip lipas di atas lantai dan terus dirasa dengan lidah comelnya.. Tidak ke merbahaya tu.

Serangga ini tertarik untuk datang kerana banyak sumber makanan ataupun banyak barang dalam rumah kita yang menjadi kediaman mereka. Kita selalunya akan menyembur repellant bagi menjauhkan serangga dari diri kita. Walau bagaimanapun, persoalannya adakah repellant selamat digunakan oleh ibu hamil?

Repellant dikhuatiri tidak selamat digunapakai oleh ibu hamil memandangkan terdapat bahan kimia padanya. Ibu hamil lebih terdedah kepada keguguran, kelahiran pramatang dan kecacatan janin.

Walau bagaimanapun, ibu cadangkan ibu hamil guna
1. Minyak serai wangi pada kadar yang memadai (serangga tidak suka bau ini)
2. Pakailah baju yang kurang terdedah (elak digigit nyamuk)
3. Pastikan sampah sentiasa dibuang di tong luar pagar rumah (elak lipas datang)
4. Cuba tanam herba yang mengeluarkan bau wangi seperti rosemary atau pokok penghalau serangga (ibu tidak pasti nama sebenar pokok ini) kerana baunya akan menjauhkan serangga dari rumah
5. Cuba petua orang lama yang mengunakan bunga cengkih yang dicucuk pada limau nipis (aromanya mampu menghalau nyamuk)
6. Guna kelambu (sangat disyorkan)
7. Pastikan longkang rumah tidak tersumbat kerana lipas suka situasi ini (minta tolong suami yer)
8. Tutup lubang yang boleh memberi laluan kepada serangga ke dalam rumah (seperti pasang net pada tingkap)

Mungkin banyak lagi petua dan kaedah tersendiri yang diamalkan. Yang penting selamat untuk ibu hamil. Alam semulajadi memang kaya dengan sumbernya. Terserah kepada diri kita untuk memanfaatkannya.

Jaga diri. Terima kasih kerana membaca. Dari ibu untuk ibu.

Sumber gambar dari Google

Sunday, 18 October 2015

Apa hukum memakaikan anak safety harness backpack?

Assalamualaikum..

Baru-baru ini kecoh kerana anak kecil seorang selebriti dipakaikan safety harness backpack, kata orang ramai seolah- olah serupa memakai tali anjing. Memang betul kata orang, mulut manusia memang tak boleh ditutup dan tidak bertapis. Setiap manusia juga mempunyai pandangan masing-masing dalam semua perkara, tambahan lagi hal-hal yang melibatkan selebriti. Orang kita suka ambil kisah sesetengah perkara dan tidak endah sesetengah perkara. Itu norma kehidupan.

Berbalik kepada tajuk yang ibu ingin bincangkan, secara peribadi, pemakaian safety harness backpack merupakan langkah keselamatan yang bijak bagi ibu bapa mengawal keberadaan anak sewaktu di tempat awam. Tambahan lagi bagi anak yang aktif dan lasak. Maklum sajalah, anak yang sedang membesar lebih teruja meneroka dunia luar. Kadang-kadang berlari ke sana ke mari tanpa menoleh kearah ibu bapa.

Ditambah pula, acapkali dipaparkan berita kehilangan dan penculikan kanak-kanak, memikirkannya membuat ibu meremang dan takut membawa anak keluar tanpa kehadiran suami bersama. Ibu jarang membawa anak ke tempat yang terlalu meriah atau ramai pengunjung seperti di karnival memandangkan anak-anak ibu masih kecil comel. Antara faktor anak hilang ialah ibu bapa leka membeli belah  di tempat jualan murah tanpa menyedari anak telah hilang dari pandangan.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, sejak 2013 sehingga Mei 2015, seramai 4,790 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 277 daripadanya masih hilang dan gagal dikesan. Jumlah ini amat membimbangkan dan semakin meningkat saban hari. Adakah kita ambil peduli kes ini.

Menjawab persoalan tajuk yang ibu utarakan diatas, ibu tidak ingin membincangkan hukum secara islamik (kerana diluar bidang pengetahuan ibu), bagi ibu bergantung kepada niat ibu bapa memakaikan anak safety harness backpack tersebut. Bagi ibu, kita bukan menganggap dan melayan anak sebagai haiwan peliharaan yang ditarik-tarik ke sana sini. Kerana sifat haiwan yang liar itu. Hakikatnya, kita ingin memastikan keselamatan anak kita pada tahap terbaik. Kita ingin menjaga amanah Allah sebaik mungkin, menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan menunaikan hak anak kita yang sewajarnya.

Ibu percaya semua ibu bapa seluruh dunia sayangkan anak masing-masing dan tidak sanggup kehilangan mereka walaupun sejenak. Biar orang menilai kita bagaimanapun, Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat di benak hati kita.

Terima kasih kerana membaca. Sehingga berjumpa lagi. Dari ibu untuk ibu.

Sumber gambar dari google.

Boleh ke ibu mengandung menyusukan anak


Assalamualaikum

Ada kawan ibu yang anaknya baru masuk umur 10 bulan, disahkan hamil. Si dia risau kerana masih menyusukan anak sulungnya. Adakah kandungannya akan terjejas dengan penyusuan. Haruskan si dia berhenti menyusukan anak sulungnya bagi menjamin kesihatan kandungannya.

Ibu pasti ada ibu-ibu di luar sana yang pernah mengalami situasi yang sama. Sebenarnya ibu sewaktu mengandungkan anak ketiga pun masih menyusukan anak kedua. Ibu ada merujuk kepada doktor O&G, doktor tidak melarang penyusuan selagimana ibu berada dalam kondisi yang sihat dan kandungan berkembang dengan baik.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa ketahanan badan dan tahap kesihatan ibu-ibu adalah berbeza setiap orang. Adalah amat penting bagi ibu- ibu semua merujuk kepada pakar sebelum membuat sebarang keputusan. Pengalaman ibu sendiri yang meneruskan penyusuan walaupun telah hamil adalah berdasarkan umur kandungan ibu yang masih awal dan anak kedua ibu yang sudah hampir cerai susu.

Terdapat risiko bagi sesetengah ibu, dimana berdasarkan pengalaman seorang kenalan ibu yang mengalami keguguran kerana menyusukan anak di saat dirinya hamil. Menurut doktor yang merawat, badan si dia masih belum pulih daripada proses bersalin yang terdahulu dimana zat- zat dalam badan tidak memadai ditambah pula si dia sedang menyusukan anak. Kehamilannya tidak dapat diselamatkan kerana rahim terlalu lemah.

Berdasarkan pembacaan, masih belum ada teori kajian perubatan yang mengesahkan penyusuan sewaktu akan menjejaskan kandungan. Tambahan lagi, susu ibu yang dihasilkan adalah selamat diminum oleh anak walaupun mengandungi hormon yang dirembeskan semasa kehamilan. Dikatakan juga, anak akan perlahan- lahan cerai susu kerana rasa susu ibu yang sudah berubah kerana hormon kehamilan ini.

Ibu-ibu hamil yang ingin meneruskan penyusuan haruslah memerhatikan tahap kesihatan kandungan dan simpton-simpton keguguran seperti pendarahan, kontraksi berlanjutan dan lain-lain. Sekiranya ragu-ragu, berjumpalah dengan pakar. Teruskan berdoa kerana jika baik yang kita inginkan, maka baiklah jadinya. Allah adalah sebaik- baik perancang.

Sehingga berjumpa lagi. Terima kasih kerana sudi membaca. Dari ibu untuk ibu.

Tuesday, 21 October 2014

Anak-anak suka berkelah di pantai

Assalamualaikum,

Agak lama tidak bercuti?. Ajak keluarga berkelah tepi pantai. Anak-anak paling suka ke pantai kerana kawasan pantai yang terbentang luas untuk mereka berlari dan bermain pasir. Banyak aktiviti yang dapat kita lakukan bersama anak-anak.

Antara aktiviti yang ibu jalankan bersama anak-anak kecil kesayangan ibu bila berada ditepi pantai ialah:

1. Bina istana/taman pasir (macam orang lain jugak kan). Biarkan anak membentuk istana pasir sendiri mengikut bentuk yang mereka suka. Kita akan dapat lihat kreativiti anak-anak. Mungkin bentuk tersebut tidak sempurna tapi sekurang-kurangnya anak kita dapat menggunakan imaginasi mereka untuk membina istana pasir tersebut.

2. Ajak anak-anak kutip cengkerang lama yang terbiar tepi pantai. Boleh buat koleksi sendiri.Anak-anak boleh tengok pelbagai rupa bentuk cengkerang laut yang unik. Sekurang-kurang dapat belajar sains di situ.

3. Kalau ada bajet lebih, masak BBQ. Anak-anak mesti suka dapat makan jagung bakar dengan angin laut yang segar. Ibu pernah buat BBQ ayam, sosej dan kambing. Memang anak-anak suka sebab semua kelaparan lepas bermain air laut. Boleh juga buat sandwich siap dan nuget goreng dari rumah.

4. Bila angin bertiup kencang, paling seronok dapat  main layang-layang. Selalunya tepi pantai banyak orang jual. Ada bermacam-macam bentuk dan warna yang menarik. Tapi mesti masuk dalam senarai siap2 untuk bawa layang-layang, kalau tidak setiap kali ke pantai nak kena beli yang baru. Bertambah-tambah koleksi layang-layang anak kita.

5. Pastikan anak-anak tidak bermain terlalu jauh dari khemah kita dan diawasi oleh ibu atau bapa. Selepas bermain air laut yang masin, pastikan anak kita mandi dengan air yang bersih supaya kulit tidak kering dan gatal2.

6. Anak- anak juga perlu minum air putih yang banyak supaya tidak terhidrat kerana udara pantai yang agak panas dan masin.

Berkelah di tepi pantai memang menyeronokkan. Walau bagaimanapun, pastikan langkah-langkah keselamatan tidak diabaikan. Sewaktu cuti sekolah, ibu bapa seelok-eloknya meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Friday, 29 August 2014

Bolehkah ibu menyusu minum teh hijau?

Assalamualaikum.

Ibu terasa nak minum teh hijau. Dikatakan teh hijau bagus untuk detoksifikasi dan penghadaman memandangkan badan ibu terasa agak lesu kerana banyak menghadiri rumah terbuka raya yang lepas. Mungkin banyak toksin dan lemak terkumpul.

Ibu rasa semua orang tahu kebaikan teh hijau tapi mungkin ibu-ibu menyusu tidak sedar bahawa teh hijau mendatangkan kesan kepada penyusuan sekiranya ambil dalam kuantiti berlebihan.

Menurut livestrong.com, teh hijau mengandungi kafein sama seperti kopi. 8oz teh hijau sama dengan 30-48 mg kafein. Pengambilan kafein walaupun sedikit boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi. Ibu akan dehidrat dan bayi susah tidur.

Teh hijau boleh diminum dalam kuantiti sedikit dan ibu-ibu perlu perhatikan samada memberi kesan kepada anak kecil kita. Jadi bagi ibu-ibu yang mahu detoks lebih baik kita minum air suam dan banyakkan berpeluh. Lebih selamat kepada bayi.

Wednesday, 27 August 2014

Anak gagap ke?

Assalamualaikum.

Putera ibu yang sulung  berusia 4 tahun, abglong, seorang yang suka bercakap dan bertanya. Masalahnya ialah abglong sering tergagap dan mengulang-ulang cakap apabila mula bersuara. Ibu sering tertunggu-tunggu apa yang ingin dicakapkan oleh abglong. Kesabaran yang tinggi amatlah diperlukan. Adakah abglong memang gagap atau memang anak-anak seusianya mengalami masalah yang sama. Sebagai seorang ibu, perkembangan fizikal dan mental anak adalah keutamaan.

Ibu perasan apabila dia memulakan percakapan, perkataan pertama akan diulang-ulang beberapa kali. Kadang-kadang apabila terlalu ingin cepat bercakap menjadikan dia gagap dan membuatkan ibu berasa geram. Seolah-olah perkataan itu tersangkut dalam kerongkong.

"Ibuu..ibuu..ibuu.. abglong lapar"
"Kenapa..kenapa...kenapa adik nangis"

Daripada pembacaan ibu, kidshealth.org menerangkan bahawa:
1. Anak berusia 2-5 tahun akan bercakap gagap dan berulang-ulang perkataan dan suku kata
2. Gagap akan hilang dengan sendiri apabila mencecah usia 5 tahun (normal)
3. Kekal gagap setelah usia tersebut dan dikategorikan sebagai masalah pertuturan

Ibu risau jika abglong berterusan gagap dan akan memberi kesan kepada personaliti dan keyakinan dirinya. Tambahan pula, abglong akan mula ke kindergarten pada tahun depan. Maka ibu telah mencuba beberapa inisiatif sendiri:

1. Pegang bahu anak dan tegur cara anak bercakap secara lembut. (Sayang, cakap sekali je. Tak mau ulang-ulang)
2. Beritahu anak supaya tarik nafas sebelum bercakap.
3. Kemudian, ulang/ajar ayat yang hendak dicakapkan oleh anak tadi dalam sekali cakap.
Anak:  Ibu..ibu...ibu buat apa tu?
Ibu:     Ibu buat apa tu?
4. Minta anak tiru/cakap ayat yang kita ajarkan tadi.


In Shaa Allah anak akan perlahan- lahan belajar cakap lebih teratur dan tidak gagap. Elakkan daripada memarahi anak jika anak masih lagi gagap, ini akan memburukkan lagi keadaan. Bersabar dan berdoa.

Alhamdulillah, ibu dapat perhatikan usaha ibu mendatangkan hasil walaupun masih belum sempurna. Selain itu, ibu juga banyakkan bercerita kepada anak-anak bagi menambahkan vocabulary mereka. Galakkan anak bercerita kepada kita bagi memastikan mereka semakin lancar berbicara.

Semoga tips dan kaedah ibu ini dapat membantu. Seeloknya dapatkan nasihat pakar terapi pertuturan yang bertauliah bagi kes yang lebih serius. Kaedah di atas hanyalah idea ibu yang dicuba ke atas anak-anak ibu.

OK. Do Your Best and Lets Allah Do the Rest.

Tuesday, 26 August 2014

Mata bayi asyik keluar air mata

Assalamualaikum.

Ibu teringat pengalaman ibu sewaktu menjaga anak kedua ibu, kakngah yang sejak lahir matanya asyik berair dan bertahi pada mata sebelah kanan. Pada mulanya ibu agak risau dan bimbang anak ibu menghadapi masalah mata kerana ibu tidak pernah melihat perkara ini berlaku pada abglong. Sepanjang masa mata kakngah akan berair dan menjadi tahi mata. Sepanjang itu juga ibu megelap matanya. Risau teramat sangat.

(Sumber: healthtool.com)

Ibu bawa kakngah berjumpa pakar kanak-kanak Meghana dan beliau menerangkan bahawa bayi yang baru lahir, ada yang saluran matanya masih belum terbuka dan sempit. Ini akan mengakibatkan air mata tidak dapat lalui saluran tersebut dan melimpah keluar. Saluran ini akan terbuka sendiri, paling lewat ketika usia bayi setahun. 

Doktor menasihatkan ibu supaya:

1. Sentiasa bersihkan tahi mata (dua hingga tiga kali sehari), dengan menggunakan kapas lembut yang basah. Lepas guna terus buang. Bersihkan lebih kerap jika perlu.

2. Urut salur air mata. Gunakan jari yang bersih, dan urut kulit di tepi mata dengan lembut, bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung.

3. Jumpa doktor sekiranya masih berlarutan sewaktu bayi setahun.

Doktor tidak memberi sebarang ubat. Beliau juga mengesyorkan ibu supaya titiskan susu ibu ke dalam mata anak sebab susu ibu ada antibodi.

Urutan salur mata

Alhamdulillah, semasa umur 4 bulan mata anak ibu sudah berhenti berair dan bertahi mata. Saluran air matanya sudah terbentuk. Syukur tidak terhingga anak ibu tidak mengalami masalah penglihatan.

Bagi ibu-ibu yang mengalami situasi yang sama, pertama sekali jangan panik yer. Berjumpalah pakar kesihatan untuk pastikan anak kita normal dan sihat.

OK. Sharing is Caring.