Friday, 29 August 2014

Bolehkah ibu menyusu minum teh hijau?

Assalamualaikum.

Ibu terasa nak minum teh hijau. Dikatakan teh hijau bagus untuk detoksifikasi dan penghadaman memandangkan badan ibu terasa agak lesu kerana banyak menghadiri rumah terbuka raya yang lepas. Mungkin banyak toksin dan lemak terkumpul.

Ibu rasa semua orang tahu kebaikan teh hijau tapi mungkin ibu-ibu menyusu tidak sedar bahawa teh hijau mendatangkan kesan kepada penyusuan sekiranya ambil dalam kuantiti berlebihan.

Menurut livestrong.com, teh hijau mengandungi kafein sama seperti kopi. 8oz teh hijau sama dengan 30-48 mg kafein. Pengambilan kafein walaupun sedikit boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi. Ibu akan dehidrat dan bayi susah tidur.

Teh hijau boleh diminum dalam kuantiti sedikit dan ibu-ibu perlu perhatikan samada memberi kesan kepada anak kecil kita. Jadi bagi ibu-ibu yang mahu detoks lebih baik kita minum air suam dan banyakkan berpeluh. Lebih selamat kepada bayi.

Wednesday, 27 August 2014

Anak gagap ke?

Assalamualaikum.

Putera ibu yang sulung  berusia 4 tahun, abglong, seorang yang suka bercakap dan bertanya. Masalahnya ialah abglong sering tergagap dan mengulang-ulang cakap apabila mula bersuara. Ibu sering tertunggu-tunggu apa yang ingin dicakapkan oleh abglong. Kesabaran yang tinggi amatlah diperlukan. Adakah abglong memang gagap atau memang anak-anak seusianya mengalami masalah yang sama. Sebagai seorang ibu, perkembangan fizikal dan mental anak adalah keutamaan.

Ibu perasan apabila dia memulakan percakapan, perkataan pertama akan diulang-ulang beberapa kali. Kadang-kadang apabila terlalu ingin cepat bercakap menjadikan dia gagap dan membuatkan ibu berasa geram. Seolah-olah perkataan itu tersangkut dalam kerongkong.

"Ibuu..ibuu..ibuu.. abglong lapar"
"Kenapa..kenapa...kenapa adik nangis"

Daripada pembacaan ibu, kidshealth.org menerangkan bahawa:
1. Anak berusia 2-5 tahun akan bercakap gagap dan berulang-ulang perkataan dan suku kata
2. Gagap akan hilang dengan sendiri apabila mencecah usia 5 tahun (normal)
3. Kekal gagap setelah usia tersebut dan dikategorikan sebagai masalah pertuturan

Ibu risau jika abglong berterusan gagap dan akan memberi kesan kepada personaliti dan keyakinan dirinya. Tambahan pula, abglong akan mula ke kindergarten pada tahun depan. Maka ibu telah mencuba beberapa inisiatif sendiri:

1. Pegang bahu anak dan tegur cara anak bercakap secara lembut. (Sayang, cakap sekali je. Tak mau ulang-ulang)
2. Beritahu anak supaya tarik nafas sebelum bercakap.
3. Kemudian, ulang/ajar ayat yang hendak dicakapkan oleh anak tadi dalam sekali cakap.
Anak:  Ibu..ibu...ibu buat apa tu?
Ibu:     Ibu buat apa tu?
4. Minta anak tiru/cakap ayat yang kita ajarkan tadi.


In Shaa Allah anak akan perlahan- lahan belajar cakap lebih teratur dan tidak gagap. Elakkan daripada memarahi anak jika anak masih lagi gagap, ini akan memburukkan lagi keadaan. Bersabar dan berdoa.

Alhamdulillah, ibu dapat perhatikan usaha ibu mendatangkan hasil walaupun masih belum sempurna. Selain itu, ibu juga banyakkan bercerita kepada anak-anak bagi menambahkan vocabulary mereka. Galakkan anak bercerita kepada kita bagi memastikan mereka semakin lancar berbicara.

Semoga tips dan kaedah ibu ini dapat membantu. Seeloknya dapatkan nasihat pakar terapi pertuturan yang bertauliah bagi kes yang lebih serius. Kaedah di atas hanyalah idea ibu yang dicuba ke atas anak-anak ibu.

OK. Do Your Best and Lets Allah Do the Rest.

Tuesday, 26 August 2014

Mata bayi asyik keluar air mata

Assalamualaikum.

Ibu teringat pengalaman ibu sewaktu menjaga anak kedua ibu, kakngah yang sejak lahir matanya asyik berair dan bertahi pada mata sebelah kanan. Pada mulanya ibu agak risau dan bimbang anak ibu menghadapi masalah mata kerana ibu tidak pernah melihat perkara ini berlaku pada abglong. Sepanjang masa mata kakngah akan berair dan menjadi tahi mata. Sepanjang itu juga ibu megelap matanya. Risau teramat sangat.

(Sumber: healthtool.com)

Ibu bawa kakngah berjumpa pakar kanak-kanak Meghana dan beliau menerangkan bahawa bayi yang baru lahir, ada yang saluran matanya masih belum terbuka dan sempit. Ini akan mengakibatkan air mata tidak dapat lalui saluran tersebut dan melimpah keluar. Saluran ini akan terbuka sendiri, paling lewat ketika usia bayi setahun. 

Doktor menasihatkan ibu supaya:

1. Sentiasa bersihkan tahi mata (dua hingga tiga kali sehari), dengan menggunakan kapas lembut yang basah. Lepas guna terus buang. Bersihkan lebih kerap jika perlu.

2. Urut salur air mata. Gunakan jari yang bersih, dan urut kulit di tepi mata dengan lembut, bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung.

3. Jumpa doktor sekiranya masih berlarutan sewaktu bayi setahun.

Doktor tidak memberi sebarang ubat. Beliau juga mengesyorkan ibu supaya titiskan susu ibu ke dalam mata anak sebab susu ibu ada antibodi.

Urutan salur mata

Alhamdulillah, semasa umur 4 bulan mata anak ibu sudah berhenti berair dan bertahi mata. Saluran air matanya sudah terbentuk. Syukur tidak terhingga anak ibu tidak mengalami masalah penglihatan.

Bagi ibu-ibu yang mengalami situasi yang sama, pertama sekali jangan panik yer. Berjumpalah pakar kesihatan untuk pastikan anak kita normal dan sihat.

OK. Sharing is Caring.

Melegakan bayi tumbuh gigi..gaga..gugu

Assalamulaikum.

Anak ibu yang paling bongsu sedang demam, ibu perasan gigi susunya sudah mula tumbuh di bahagian bawah. Patutlah sejak kebelakangan ini, dia sering mengigit sewaktu menyusu. Rupanya gigi sulung dia nak keluar. Umur anak ibu sudah enam bulan dimana rata -rata bayi mula tumbuh gigi. Kata orang, anak yang fully brestfeeding akan lebih cepat tumbuh gigi.

Susunan gigi bayi

Bagi bayi yang mula tumbuh gigi pertamanya ada yang akan mengalami demam kerana rasa yang tidak selesa dan bengkak pada gusinya. Daripada pembacaan ibu, sewaktu gigi pertama tumbuh atau first cutting teeth perkara-perkara berikut dapat dilihat pada bayi:

1. Mengigit-gigit
2. Air liur meleleh dari mulut
3. Menghisap jari
4. Kurang selera makan
5. Sukar untuk tidur
6. Suhu badan meningkat
dan lain-lain lagi.

Menurut drzubaidi.com, ibu-ibu boleh membantu anak kecil kita yang mula tumbuh gigi dengan:

1. Beri susu secukupnya supaya demam cepat reda
2. Beri bayi barang permainan yang lembut dan boleh digigit (teether). Pastikan bersih. Elok juga disejukkan sebelum diberi kepada bayi supaya dapat meredakan rasa sakit gusi.
3. Bawa anak berjumpa doktor sekiranya rengekan dan tangisan berpanjangan untuk pastikan tiada masalah kesihatan yang lain.

Teether

Anak ibu, si adik demam beberapa hari dan merengek sepaniang masa kecuali bila tidur. Pada mulanya agak merisaukan. Tetapi apabila ibu membaca dan meng' google' , ibu dapati perkara ini adalah normal. Ini merupakan pengalaman pertama ibu memandangkan abglong dan kakngah tidak menunjukkan simptom seperti di atas sewaktu mula tumbuh gigi.

Alhamdulillah. Lepas ini, bermulalah misi ibu dalam penjagaan gigi si adik supaya tidak mengikut jejak langkah abang dan kakaknya yang sudah rongak. Semoga ilmu ini memberi manfaat yer.

OK.Good Luck kepada ibu-ibu.

Thursday, 14 August 2014

Nyamuk dan Demam Denggi

Assalamualaikum

Ibu teringat cerita kawan sepejabat ibu yang suaminya terpaksa bekerja di hari lebaran yang lalu dek kerana kes demam denggi meningkat dan tertinggi di Selangor. Merujuk kepada portal rasmi Kementerian Kesihatan, statistik minggu ke-32 tahun 2014 kes meningkat sebanyak 62% dari minggu sebelumnya dan ada kes yang menyebabkan kematian.

Berdasarkan pembacaan ibu, demam denggi disebabkan oleh virus yang merebak melalui gigitan nyamuk aedes aegypti. Nyamuk ini selalunya aktif menghisap darah pada waktu senja.
(sumber: Wikipedia)

Antara tanda- tanda awal yang boleh dikenalpasti ialah:
1. Demam kuat yang berlarutan selama 2-7 hari (suhu badan 40-41 C)
2. Ruam merah
3. Muntah dan kurang selera makan

Syukur, anak-anak ibu masih cergas dan tidak menunjukkan tanda-tanda tersebut. Walau bagaimanapun, ibu turut mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan anak-anak terhindar daripada gigitan nyamuk.

1. Memasang kelambu pada waktu malam (sekarang ada kelambu khemah yang mudah dipakai)

2. Pastikan anak-anak tidak lagi bermain di taman permainan atau luar rumah pada lewat petang (air bertakung tempat nyamuk membiak)

3. Pakaikan anak baju dan seluar tidur yang menutup tubuhnya (minima kan digigit nyamuk)

4. Sapu minyak serai wangi pada anggota badan anak untuk mengelakkan nyamuk datang dekat ataupun pakai repellent yang lain

5. Pastikan tidak menyimpan terlalu banyak barang dalam rumah dan kemaskan (elak nyamuk bersembunyi di situ)

6. Hapuskan tempat pembiakan nyamuk

Ibu-ibu perlu memberi perhatian serius kepada kes demam denggi  ini terutama di kawasan hotspot denggi dan terus berjumpa pakar kesihatan sekiranya terdapat tanda yang berpotensi sebagai demam denggi. Bersamalah kita perangi aedes.

Wednesday, 13 August 2014

Vitamin???

Assalamualaikum

Ibu sudah lama tidak menulis sebarang entri sejak ramadhan hingga syawal ini.Kesibukan kerja dan menguruskan rumahtangga menjadi kekangan ibu berblogging.

Kali ini, ibu bercerita tentang kepentingan memberi vitamin C a.k.a Asid Askorbik kepada anak-anak kecil ibu yang sedang membesar. Ibu mula perasan kepentingan vitamin C bila anak ibu, si kakngah yang suka minum susu (8 botol x 7oz sehari) tapi masih mengalami karies gigi. Jika ikutkan jumlah susu yang diminum oleh si kakak ni, banyak juga kalsium yang diambil. Kakngah baru berusia 2 tahun 3 bulan. Jadi bila difikirkan semula dimana silapnya.

Setelah membuat pembacaan dan ditambah ilmu sains yang dipelajari dulu-dulu, ibu dapat sedikit pengetahuan bahawa vitamin C memainkan peranan penting dalam membantu penyerapan kalsium yang menjadikan gigi dan tulang kuat. Vitamin C juga membantu baiki sel- sel darah. Penting juga untuk sistem imunisasi anak. 

Menurut pakar kesihatan, keperluan vitamin C bagi anak-anak kita adalah sebanyak 40mg sehari. Kita perlu pastikan anak-anak ambil vitamin memandangkan vitamin ini tidak dihasilkan oleh badan.

Ibu amalkan memberi anak-anak vitamin C dari sumber berikut:
1. Buahan (esp jambu batu, oren & tembikai susu), anak-anak memang suka makan buah terutama yang manis
2. Sayuran (esp brokoli & kentang), tapi susah jugak nak pastikan anak-anak makan dengan betul
3. Tablet vitamin (macam gula-gula senang sikit nak kunyah)

(sumber: http://dentistryandmedicine.blogspot.com/2013/03/oral-manifestations-of-vitamin.html)

Rasanya dah hampir sebulan anak- anak ambil tablet vitamin disamping makan buah dan sayur. Ibu dapat perhatikan  selera makan anak-anak bertambah dan  gigi kurang rosak disamping parut luka cepat baik.
Alhamdulillah, anak-anak pun kebal sikit (tak mudah jatuh sakit).  Ibu pun ambil vitamin juga untuk meningkatkan kualiti susu ibu untuk si kecil.

Akhir sekali, ibu-ibu harus juga merujuk kepada pakar  kesihatan masing-masing dalam memastikan kadar pengambilan vitamin adalah bersesuaian dengan kesihatan tubuh anak-anak. Selamat bervitamin semua..