Monday, 19 October 2015

Boleh ke ibu mengandung guna repellant ?

Assalamualaikum

Semua ibu sedia maklum bahawa rumah yang kita diami sekarang bukan sahaja menjadi tempat berteduh kita sekeluarga malah ada yang menumpang. Jangan salah faham dulu yer. Yang ibu maksudkan ialah serangga seperti nyamuk, lipas, cicak, semut dan banyak lagi. Kadang- kadang anak kita yang sedang merangkak itu mengutip lipas di atas lantai dan terus dirasa dengan lidah comelnya.. Tidak ke merbahaya tu.

Serangga ini tertarik untuk datang kerana banyak sumber makanan ataupun banyak barang dalam rumah kita yang menjadi kediaman mereka. Kita selalunya akan menyembur repellant bagi menjauhkan serangga dari diri kita. Walau bagaimanapun, persoalannya adakah repellant selamat digunakan oleh ibu hamil?

Repellant dikhuatiri tidak selamat digunapakai oleh ibu hamil memandangkan terdapat bahan kimia padanya. Ibu hamil lebih terdedah kepada keguguran, kelahiran pramatang dan kecacatan janin.

Walau bagaimanapun, ibu cadangkan ibu hamil guna
1. Minyak serai wangi pada kadar yang memadai (serangga tidak suka bau ini)
2. Pakailah baju yang kurang terdedah (elak digigit nyamuk)
3. Pastikan sampah sentiasa dibuang di tong luar pagar rumah (elak lipas datang)
4. Cuba tanam herba yang mengeluarkan bau wangi seperti rosemary atau pokok penghalau serangga (ibu tidak pasti nama sebenar pokok ini) kerana baunya akan menjauhkan serangga dari rumah
5. Cuba petua orang lama yang mengunakan bunga cengkih yang dicucuk pada limau nipis (aromanya mampu menghalau nyamuk)
6. Guna kelambu (sangat disyorkan)
7. Pastikan longkang rumah tidak tersumbat kerana lipas suka situasi ini (minta tolong suami yer)
8. Tutup lubang yang boleh memberi laluan kepada serangga ke dalam rumah (seperti pasang net pada tingkap)

Mungkin banyak lagi petua dan kaedah tersendiri yang diamalkan. Yang penting selamat untuk ibu hamil. Alam semulajadi memang kaya dengan sumbernya. Terserah kepada diri kita untuk memanfaatkannya.

Jaga diri. Terima kasih kerana membaca. Dari ibu untuk ibu.

Sumber gambar dari Google

Sunday, 18 October 2015

Apa hukum memakaikan anak safety harness backpack?

Assalamualaikum..

Baru-baru ini kecoh kerana anak kecil seorang selebriti dipakaikan safety harness backpack, kata orang ramai seolah- olah serupa memakai tali anjing. Memang betul kata orang, mulut manusia memang tak boleh ditutup dan tidak bertapis. Setiap manusia juga mempunyai pandangan masing-masing dalam semua perkara, tambahan lagi hal-hal yang melibatkan selebriti. Orang kita suka ambil kisah sesetengah perkara dan tidak endah sesetengah perkara. Itu norma kehidupan.

Berbalik kepada tajuk yang ibu ingin bincangkan, secara peribadi, pemakaian safety harness backpack merupakan langkah keselamatan yang bijak bagi ibu bapa mengawal keberadaan anak sewaktu di tempat awam. Tambahan lagi bagi anak yang aktif dan lasak. Maklum sajalah, anak yang sedang membesar lebih teruja meneroka dunia luar. Kadang-kadang berlari ke sana ke mari tanpa menoleh kearah ibu bapa.

Ditambah pula, acapkali dipaparkan berita kehilangan dan penculikan kanak-kanak, memikirkannya membuat ibu meremang dan takut membawa anak keluar tanpa kehadiran suami bersama. Ibu jarang membawa anak ke tempat yang terlalu meriah atau ramai pengunjung seperti di karnival memandangkan anak-anak ibu masih kecil comel. Antara faktor anak hilang ialah ibu bapa leka membeli belah  di tempat jualan murah tanpa menyedari anak telah hilang dari pandangan.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, sejak 2013 sehingga Mei 2015, seramai 4,790 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 277 daripadanya masih hilang dan gagal dikesan. Jumlah ini amat membimbangkan dan semakin meningkat saban hari. Adakah kita ambil peduli kes ini.

Menjawab persoalan tajuk yang ibu utarakan diatas, ibu tidak ingin membincangkan hukum secara islamik (kerana diluar bidang pengetahuan ibu), bagi ibu bergantung kepada niat ibu bapa memakaikan anak safety harness backpack tersebut. Bagi ibu, kita bukan menganggap dan melayan anak sebagai haiwan peliharaan yang ditarik-tarik ke sana sini. Kerana sifat haiwan yang liar itu. Hakikatnya, kita ingin memastikan keselamatan anak kita pada tahap terbaik. Kita ingin menjaga amanah Allah sebaik mungkin, menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan menunaikan hak anak kita yang sewajarnya.

Ibu percaya semua ibu bapa seluruh dunia sayangkan anak masing-masing dan tidak sanggup kehilangan mereka walaupun sejenak. Biar orang menilai kita bagaimanapun, Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat di benak hati kita.

Terima kasih kerana membaca. Sehingga berjumpa lagi. Dari ibu untuk ibu.

Sumber gambar dari google.

Boleh ke ibu mengandung menyusukan anak


Assalamualaikum

Ada kawan ibu yang anaknya baru masuk umur 10 bulan, disahkan hamil. Si dia risau kerana masih menyusukan anak sulungnya. Adakah kandungannya akan terjejas dengan penyusuan. Haruskan si dia berhenti menyusukan anak sulungnya bagi menjamin kesihatan kandungannya.

Ibu pasti ada ibu-ibu di luar sana yang pernah mengalami situasi yang sama. Sebenarnya ibu sewaktu mengandungkan anak ketiga pun masih menyusukan anak kedua. Ibu ada merujuk kepada doktor O&G, doktor tidak melarang penyusuan selagimana ibu berada dalam kondisi yang sihat dan kandungan berkembang dengan baik.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa ketahanan badan dan tahap kesihatan ibu-ibu adalah berbeza setiap orang. Adalah amat penting bagi ibu- ibu semua merujuk kepada pakar sebelum membuat sebarang keputusan. Pengalaman ibu sendiri yang meneruskan penyusuan walaupun telah hamil adalah berdasarkan umur kandungan ibu yang masih awal dan anak kedua ibu yang sudah hampir cerai susu.

Terdapat risiko bagi sesetengah ibu, dimana berdasarkan pengalaman seorang kenalan ibu yang mengalami keguguran kerana menyusukan anak di saat dirinya hamil. Menurut doktor yang merawat, badan si dia masih belum pulih daripada proses bersalin yang terdahulu dimana zat- zat dalam badan tidak memadai ditambah pula si dia sedang menyusukan anak. Kehamilannya tidak dapat diselamatkan kerana rahim terlalu lemah.

Berdasarkan pembacaan, masih belum ada teori kajian perubatan yang mengesahkan penyusuan sewaktu akan menjejaskan kandungan. Tambahan lagi, susu ibu yang dihasilkan adalah selamat diminum oleh anak walaupun mengandungi hormon yang dirembeskan semasa kehamilan. Dikatakan juga, anak akan perlahan- lahan cerai susu kerana rasa susu ibu yang sudah berubah kerana hormon kehamilan ini.

Ibu-ibu hamil yang ingin meneruskan penyusuan haruslah memerhatikan tahap kesihatan kandungan dan simpton-simpton keguguran seperti pendarahan, kontraksi berlanjutan dan lain-lain. Sekiranya ragu-ragu, berjumpalah dengan pakar. Teruskan berdoa kerana jika baik yang kita inginkan, maka baiklah jadinya. Allah adalah sebaik- baik perancang.

Sehingga berjumpa lagi. Terima kasih kerana sudi membaca. Dari ibu untuk ibu.