Sunday, 18 October 2015

Apa hukum memakaikan anak safety harness backpack?

Assalamualaikum..

Baru-baru ini kecoh kerana anak kecil seorang selebriti dipakaikan safety harness backpack, kata orang ramai seolah- olah serupa memakai tali anjing. Memang betul kata orang, mulut manusia memang tak boleh ditutup dan tidak bertapis. Setiap manusia juga mempunyai pandangan masing-masing dalam semua perkara, tambahan lagi hal-hal yang melibatkan selebriti. Orang kita suka ambil kisah sesetengah perkara dan tidak endah sesetengah perkara. Itu norma kehidupan.

Berbalik kepada tajuk yang ibu ingin bincangkan, secara peribadi, pemakaian safety harness backpack merupakan langkah keselamatan yang bijak bagi ibu bapa mengawal keberadaan anak sewaktu di tempat awam. Tambahan lagi bagi anak yang aktif dan lasak. Maklum sajalah, anak yang sedang membesar lebih teruja meneroka dunia luar. Kadang-kadang berlari ke sana ke mari tanpa menoleh kearah ibu bapa.

Ditambah pula, acapkali dipaparkan berita kehilangan dan penculikan kanak-kanak, memikirkannya membuat ibu meremang dan takut membawa anak keluar tanpa kehadiran suami bersama. Ibu jarang membawa anak ke tempat yang terlalu meriah atau ramai pengunjung seperti di karnival memandangkan anak-anak ibu masih kecil comel. Antara faktor anak hilang ialah ibu bapa leka membeli belah  di tempat jualan murah tanpa menyedari anak telah hilang dari pandangan.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, sejak 2013 sehingga Mei 2015, seramai 4,790 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 277 daripadanya masih hilang dan gagal dikesan. Jumlah ini amat membimbangkan dan semakin meningkat saban hari. Adakah kita ambil peduli kes ini.

Menjawab persoalan tajuk yang ibu utarakan diatas, ibu tidak ingin membincangkan hukum secara islamik (kerana diluar bidang pengetahuan ibu), bagi ibu bergantung kepada niat ibu bapa memakaikan anak safety harness backpack tersebut. Bagi ibu, kita bukan menganggap dan melayan anak sebagai haiwan peliharaan yang ditarik-tarik ke sana sini. Kerana sifat haiwan yang liar itu. Hakikatnya, kita ingin memastikan keselamatan anak kita pada tahap terbaik. Kita ingin menjaga amanah Allah sebaik mungkin, menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan menunaikan hak anak kita yang sewajarnya.

Ibu percaya semua ibu bapa seluruh dunia sayangkan anak masing-masing dan tidak sanggup kehilangan mereka walaupun sejenak. Biar orang menilai kita bagaimanapun, Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat di benak hati kita.

Terima kasih kerana membaca. Sehingga berjumpa lagi. Dari ibu untuk ibu.

Sumber gambar dari google.

No comments:

Post a Comment