Sunday, 18 October 2015

Boleh ke ibu mengandung menyusukan anak


Assalamualaikum

Ada kawan ibu yang anaknya baru masuk umur 10 bulan, disahkan hamil. Si dia risau kerana masih menyusukan anak sulungnya. Adakah kandungannya akan terjejas dengan penyusuan. Haruskan si dia berhenti menyusukan anak sulungnya bagi menjamin kesihatan kandungannya.

Ibu pasti ada ibu-ibu di luar sana yang pernah mengalami situasi yang sama. Sebenarnya ibu sewaktu mengandungkan anak ketiga pun masih menyusukan anak kedua. Ibu ada merujuk kepada doktor O&G, doktor tidak melarang penyusuan selagimana ibu berada dalam kondisi yang sihat dan kandungan berkembang dengan baik.

Walau bagaimanapun, hendaklah difahami bahawa ketahanan badan dan tahap kesihatan ibu-ibu adalah berbeza setiap orang. Adalah amat penting bagi ibu- ibu semua merujuk kepada pakar sebelum membuat sebarang keputusan. Pengalaman ibu sendiri yang meneruskan penyusuan walaupun telah hamil adalah berdasarkan umur kandungan ibu yang masih awal dan anak kedua ibu yang sudah hampir cerai susu.

Terdapat risiko bagi sesetengah ibu, dimana berdasarkan pengalaman seorang kenalan ibu yang mengalami keguguran kerana menyusukan anak di saat dirinya hamil. Menurut doktor yang merawat, badan si dia masih belum pulih daripada proses bersalin yang terdahulu dimana zat- zat dalam badan tidak memadai ditambah pula si dia sedang menyusukan anak. Kehamilannya tidak dapat diselamatkan kerana rahim terlalu lemah.

Berdasarkan pembacaan, masih belum ada teori kajian perubatan yang mengesahkan penyusuan sewaktu akan menjejaskan kandungan. Tambahan lagi, susu ibu yang dihasilkan adalah selamat diminum oleh anak walaupun mengandungi hormon yang dirembeskan semasa kehamilan. Dikatakan juga, anak akan perlahan- lahan cerai susu kerana rasa susu ibu yang sudah berubah kerana hormon kehamilan ini.

Ibu-ibu hamil yang ingin meneruskan penyusuan haruslah memerhatikan tahap kesihatan kandungan dan simpton-simpton keguguran seperti pendarahan, kontraksi berlanjutan dan lain-lain. Sekiranya ragu-ragu, berjumpalah dengan pakar. Teruskan berdoa kerana jika baik yang kita inginkan, maka baiklah jadinya. Allah adalah sebaik- baik perancang.

Sehingga berjumpa lagi. Terima kasih kerana sudi membaca. Dari ibu untuk ibu.

No comments:

Post a Comment